Tuesday, October 7, 2008

LENGGONG OH LENGGONG

Raya ke 2 pada Syawal 02/10/2008 telah memberikan banyak kesedaran kepada aku. Apa tidaknya kerana inilah merupakan tempat lahir ibu bapaku. Seingat aku, pada tahun 60an lagi aku telah didedahkan dengan kehidupan desa di Kg Bukit Nangka dan pekan kecil Lenggong.
Sebaik sahaja kenderaan HILUXku memasuki pekan Lenggong, aku terpandang kepada bangunan Dewan Merdeka dan bangunan Pejabat Pos yang terletak berhampiran. aku lantas menceritakan kepada adik-adikku bahawa pekan Lenggong ini tidak banyak berubah sejak dari zaman 60an sehinggalah sekarang. Kalau ada perubahan pun hanyalah kepada beberapa struktur bangunan seperti stesyen bas,benteng selera sebelah Shell, Rumah Rehat Lenggong ddan juga mungkin jalan raya baru yang telah memecahkan Kg Bukit Nangka kepada 2 bahagian.
Destinasi aku yang pertama pada hari itu ialah Rumah Rehat Lenggong. Inilah kali pertama aku menginap di sini. Mungkin kerana sebelum ini aku banyak menumpang tidur di rumah saudara mara yang bertaburan di sekitar kawasan Lenggong ini. Aku kemudiannya melihat sekitar kawasan pekan Lenggong. Di Main Road Lenggong, aku dongakkan kepala untuk melihat kabel elektrik yang suatu masa dahulu tempat hinggap ribuan burung lelayang. Tapi sekarang semuanya telah tiada lagi. Ke manakah perginya kawanan burung lelayang tersebut?
Entahlah, aku pun terus pula menghala ke stesyen bas. Memang agak sunyi stesyen bas tersebut. Mungkin kerana musim perayaan ini ataupun mungkin juga rata-rata penduduk Lenggong telah mampu mempunyai kenderaan sendiri dan tidak lagi mengharapkan kepada perkhidmatan bas dan prebet sapu yang mana suatu ketika dahulu menjadi sistem pengangkutan utama penduduk di sekitar.

Bila menyebut prebet sapu, aku terkenangkan arwah HAJI WATIQ, seorang drebar prebet sapu yang amat terkenal dengan kopiah, baju melayu dan kening lebatnya. Aku pernah menaiki prebet sapu kepunyaannya pada tahun 60an hingga tahun 70an...kenangan indah suatu waktu dahulu. Begitu juga dengan perkhidmatan bas RED AND YELLOW yang amat dikenali. Malahan aku masih dapat mengingati wajah apek tua yang menjadi konduktor bas tersebut.

Tatkala aku mengimbas kembali segala kenangan tersebut, aku turut tertanya-tanya kenapakah tidak banyak pembangunan yang dibuat di Lenggong? Apakah kerana Lenggong tiada apa-apa sumbangan ekonomi terhadap negara ini atau mungkin juga kerana kerajaan lebih menumpukan tempat yang mempunyai aspek ekonomi yang lebih baik untuk dimajukan seperti Ipoh, Taiping atau daerah Manjung?

Mana mungkin Lenggong dibiarkan ketinggalan berbanding daerah-daerah lain di Perak. Pernah suatu ketika dahulu apabila dibuka sahaja Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Pekan Grik dengan Jeli di Kelantan, terdapat segelintir penduduk yang mengimpikan pembangunan di Lenggong, namun impian itu tidak terlaksana hinggalah sekarang.

Apa yang lebih menyedihkan aku dan beberapa kenalanku ialah Lenggong pernah melahirkan beberapa orang individu bertaraf menteri seperti Tajol Rosli, Nazri Aziz,Dato Ahmad Said, Ong Ka Ting dan Ong Ka Chuan serta beberapa nama lagi yang pernah dikenali di negara kita seperti bekas Jenderal Ghazali Che Mat, bekas Timbalan Ketua Polis Selangor,Bekas Ketua Hakim dan banyak lagi. Namun yang amat dikesalkan, tiada pun seorang ahli politik terkenal pernah menyerahkan komitmen seratus peratus untuk membangunkan Lenggong!
Adakah ahli politik kita hanya mengharapkan sokongan undi penduduk Lenggong, tetapi sebagai balasannya,..habuk pun tarak.....!!!!

Adakah Lenggong kekurangan serba serbi? Jawapan aku Tidak!!!! Lenggong amat kaya dengan pelbagai sumber, tetapi TIDAK DIMANFAATKAN! Lihatlah kekayaan alam Lenggong seperti tasik, gua-gua batu kapur seperti Gua Puteri, Gua Batu Runtuh dan beberapa gua lagi, Lata Kekabu, Lata Papan, Air Ibol dan lain-lain lagi. Sesuatu yang aku nampak sekarang ini dan amat popular ialah ikan pekasam.
Kalaulah kerajaan dan pihak-pihak tertentu menoleh ke negara jiran kita Thailand, tentu mereka akan nampak permata yang ada di Lenggong ini. Aku sendiri tidak tahu kenapakah aset yang ada di Lenggong ini tidak diperdulikan. Kalau di Thailand, sudah lama tempat seperti Lenggong ini akan dibangunkan dengan produk pelancongan terutama eko-tourism. Kita boleh menarik kedatangan pelancong ke Lenggong kerana Lenggong juga mempunyai sejarah pra sejarah terutamanya dengan penemuan Perak Man.
Foto yang aku paparkan di atas ini ialah Yam Pu Ma, iaitu kerabu ketam mentah yang amat popular di Thailand.Tidak sah kalau ke Thailand jika kita tidak merasa makanan tradisional itu. Bagi Lenggong yang popular dengan ikan bakar dan ikan pekasam, kenapakah tiada pihak yang berani mempromosikan masakan tradisional itu ke peringkat antarabangsa supaya biar masyarakat luar tahu kehebatan Lenggong.Kalaulah benar -benar ada pihak yang serius, aku jamin kalau pekej pelancongan untuk 4 hari melihat Lenggong pun tidak akan mencukupi. Kita tidak perlu hotel 5 bintang di Lenggong. Rasanya lebih elok kalau dibangunkan homestay sahaja agar pelancong dapat menikmati cara kehidupan masyarakat kampung di sini.

Gambar di atas adalah gambar kenangan yang aku ambil ketika perjalanan dari Pattalung ke Nakhon Sithammarat, Thailand. Aku lihat hasil kampung tersebut seperti telur bakar dan keli salai telah dijual oleh penduduk kampung kepada pelancong-pelancong luar. Selain itu, terdapat juga barang-barang kraftangan yang turut dipromosikan di sepanjang jalan tersebut yang mana ini telah berjaya menarik pelancong dan mempopularkan kampung tersebut kepada pelancong luar.

Mungkin suatu hari nanti akan ada kesedaran di pihak kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan lain untuk mempopularkan kembali Lenggong, tanah lahir Perak Man yang penuh bersejarah, agar Lenggong akan dapat dilahirkan semula dalam pembangunan negara di masa yang akan datang.

Sebut pasal Perak Man, betulkah Perak Man sekarang ini telah digadai ke Jepun.....di mana Perak Man sekarang????
Posted by Picasa

1 comment:

Anonymous said...

satu cerita yang menarik tuan. rasanya keindahan lenggong tidak perlu dicemari. Lenggong dengan suasana kehijauannya cukup memikat. kalau terlalu banyak pembangunan, pasti keindahan lengggong akan terhakis