Tuesday, January 13, 2009

KRISIS PALESTIN-UMAT ISLAM SEDUNIA PERLU BERTINDAK

Sehingga tarikh hari ini 15 Januari 2009, kebiadaban, kezaliman dan keangkuhan rejim Zionis di bumi Palestin masih belum reda. Angka korban setakat ini telah mencecah 900 orang di mana lebih kurang 400 adalah kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Di sana sini terdapat bantahan besar-besaran oleh masyarakat yang bersimpati dengan rakyat Palestin, dari segenap pelusuk dunia, dari Malaysia hingga ke Amerika sendiri, tunjuk-tunjuk perasaan tidak pernah reda. Namun apa yang jelas, segala bantahan dan tunjuk perasaan itu tidak lebih seperti anjing menyalak bukit sahaja. Sedikit pun tidak dirasai oleh pihak Yahudi Zionis atau Amerika sendiri.

Dalam keributan serangan Yahudi terhadap rakyat Palestin itu, rakyat kita di negara Malaysia ini masih belum mencapai tahap simpati yang sebenar. Manakan tidak, ribuan warga kita masih terjerit-jerit gila menyambut tahun baru 2009, dari Perdana Menteri sendiri sehinggalah kepada mat-mat rempit dan minah bohsia, terkinja-kinja terjerit-jerit histeria menyambut kedatangan tahun baru masehi 2009.

Inikah kemegahan kita sebagai pembela nasb rakyat Palestin? Inikah cara simpati yang ditunjukkan oleh kita terhadap perjuangan mereka?Ayoh,fikirkan dengan keikhlasan hati, bukan dengan kebutaan hati!

DI MANA SUARA NEGARA-NEGARA ARAB?

Inilah persoalan yang ingin ditekankan dan difikirkan bersama. Di manakah suara negara-negara Islam khususnya negara Arab yang kaya raya? Langsung tidak terdengar suara-suara pembelaan dari pemimpin-pemimpin Arab, dan kalau ada pun tidak lebih dari suara-suara seorang pengecut yang takutkan musuh di hadapan mereka. Mana dia pemimpin-pemimpin yang mengaku sebagai pejuang-pejuang Islam?

Nah sekarang telah terdedah sekali lagi kebaculan pemimpin-pemimpin negara Arab yang masih dalam lena dan lalai dibuai oleh hasil kekayaan bumi mereka.Mereka lupa bahawa kekayaan itu bukan hak mutlak mereka semata-mata. Allah jadikan bumi mereka kaya raya dengan hasil minyak bukan untuk dijoli di casino-casino di Las Vegas, Macau atau kotaraya Bangkok. Tetapi Allah jadikan mereka kaya adalah untuk mereka berfikir dan membelanjakan kekayaan itu untuk perkembangan syiar Islam sedunia. Kekayaan itu juga adalah untuk perjuangan agama. Kekayaan itu juga untuk peperangan melawan kezaliman.

Wahai pemimpin-pemimpin Arab, kenapakah kamu masih gentar, takut, dan bacul? Masih lenakah tidur kamu mendengar jeritan anak-anak kecil dan wanita dizalimi di bumi Palestin? Jangan kamu ingat Allah akan membiarkan kamu dalam kesenangan selama-lamanya. Ingatlah, sekiranya Allah mahu tarik kekayaan kamu itu, hanya tidak sampai sekelip mata, kamu akan jatuh sepertimana Firaun! Ingatlah wahai pemimpin-pemimpin Arab yang masih lena diulit mimpi. Mimpi ngeri kamu bakal akan sampai sekiranya kamu masih enggan berubah.

Sesekali apabila aku berfikir sendirian mengenangkan nasib rakyat Palestin, aku terfikir juga, mungkin ada sesuatu yang perlu diperbetulkan. Ya, maksud aku selama ini kita menunjuk perasaan membantah kezaliman Yahudi Zionis dan Amerika. Kita sanggup membakar bendera dan patung pemimpin mereka. Dan sesekali aku terasa memang tindakan sebegi nampaknya agak bodoh! Tidak efektif!

Apa kata sekarang masyarakat dunia yang cintakan keamanan mengubah strategi. Ya, kita semua mengubah strategi. Kita terbalikkan segala tindakan yang kita ambil terhadap Israel dan Amerika diubah kepada negara-negara Arab yang kaya dan telah kita kenal pasti. Apa yang perlu kita lakukan?

Di bawah ini adalah cadangan yang boleh kita buat untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin Arab yang masih lena itu.

1. Adakah bantahan terhadap kebodohan dan kealpaan pemimpin-pemimpin Arab. Jangan bakar bendera Israel dan Amerika, sebaliknya bakar bendera negara-negara Arab yang masih tidur lena dan takut terhadap kebenaran.
2. Selain dari boikot barangan Israel, kita sepatutnya boikot juga barangan dari negara-negara Arab itu. Biarlah kita tidak makan kurma untuk tahun ini. Kita ganti dengan kurma dari Iran atau China.
3. Selain dari mendesak PBB untuk mengadakan sidang tergempar membincangkan isu Palestin, desak juga PBB untuk membuat resolusi sampingan terhadap negara-negara Arab yang kaya raya itu. Kalau ada usul boikot Israel, masukkan juga usul boikot negara Arab!

4. Hadkan jumlah jemaah haji yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.
5. Hentikan semua urusniaga dengan syarikat dari negara-negara Arab. Biarlah kita berkorban demi kesinambuangan perjuangan melawan keganasan Israel dan konco Amerikanya.
6. Adakan sidang khas negara-negara Islam untuk mengeluarkan resolusi mengutuk kebaculan negara-negara Arab dalam menangani krisis Palestin.

Secara peribadi saya merasakan memang gesaan seperti di atas itu tadi nampaknya agak lucu dan bodoh, tetapi lebih baik kita berfikiran agak bodoh daripada kita diperbodohkan! Memang kita rakyat biasa boleh bertindak. Ya, memang kita ada kuasa bertindak secara bersendirian. Ini adalah kerana mungkin kita sukar untuk bertindak secara berkumpulan, tetapi kita boleh bertindak secara individu atau diperingkat keluarga.

Kita boleh mulakan sekarang. Kita boleh boikot barangan dari negara-negara Israel, Amerika dan Arab. Benar kita boleh boikot semua barnagan dan perkhidmatan dari negara Arab. Tetapi yang kita tidak boikot dari negara Arab ialah Al Quran dan Islam!

ARAB TIDAK LEMAH TETAPI DILEMAHKAN!

Saya menganggap bahawa negara-negara Arab masih lemah longlai akibat mereka telah dilemahkan dan dilonglaikan. Kenapa boleh jadi sebegitu? Tidak lain-tidak bukan ialah kerana pemimpin-pemimpin Arab masih tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Islam amenyuruh kita berbaik-baik sesama saudara, tetapi bangsa Arab tidak mahu mengikut saranan tersebut. Al Quran menyuruh kita menggunakan kekayanan ke jalan Allah tetapi pemimpin-pemimpin Arab membelanjakan kekayaan mereka ke jalan syaitan, masyaallah!

Memang jelas sekali, jika Allah tiba-tiba mengeringkan semua telaga minyak dibumi Arab secara tiba-tiba, maka akan rebahlah mereka seperti anjing yang ditembak di tepi jalan!

Memang negara Arab kaya-raya. Tetapi kekayaan bukanlah sifat yang kekal. Tiada yang kekal dalam dunia ini kecuali amal kebajikan yang kita laksanakan semasa hidup di dunia. Oleh itu jelaslah, kekayaan itu termasuk dalam senarai sesuatu yang tidak kekal.Kekayaan bila-bila masa sahaja akan terhakis.

Oleh yang demikian, sementara kekayaan masih berada dalam tangan negara-negara Arab yang kaya itu, maka perlulah mereka berbelanja ke arah jalan yang diredhai. Kekayaan itu boleh dihulurkan untuk kebajikan saudara seagama di Palestin.

Wahai rakyat Palestin,
Walaupun aku tidak mampu bersamamu memikul senjata di bumimu;
Walaupun aku tiada wang ringgit seperti bapak-bapak Arab di tanah gersang itu;
Namun hatiku dan doaku adalah untuk kamu.
Hidup Palestin!!!!

Saturday, January 10, 2009

PERSEPAKATAN KELUARGA LEBAI KEMALA BOIKOT BARANGAN ISRAEL

Pada Disember 2008 yang lalu, telah tercipta sejarah dalam perjalanan hidup peradaban manusia. Pertamanya pada 27/12/2008 Israel telah menggerakkan bala tenteranya mengayang penduduk Palestine di Gaza dan sehari selepasnya iaitu 28/12/2008, keluarga waris Lebai Kemala mengadakan perjumpaan buat kali ke dua di Resort Tasik Raban, Lenggong.

Dalam kita meriah menyambut hari keluarga tempoh hari, bumi Gaza bermandi darah dengan keganasan pihak Yahudi Zionis, tanpa disanggah bermaharajalela membunuh penduduk Palestine sesuka hati dengan restu Amerika Syarikat. Adakah Israel sesuka hati menggayang Palestine tanpa restu Amerika? Jawapannya TIDAK! Israel tidak akan berani menggodam bumi Palestine tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Amerika.

Di kala anak-anak kecil kita menjerit gembira bermain di Tasik Raban Resort itu, anak - anak Palestine menjerit-jerit ketakutan, kesakitan dan menjerit menangisi kehilangan ibu ayah dan ahli keluarga tercinta.Apakah kita hanya boleh melihat dan berdiam diri sahaja? Tidak! Kita tidak boleh mendiamkan diri. Kita perlu melakukan sesuatu untuk membantu Palestine.
Sebagai satu tanda sokongan kepada Palestine, saya menyarankan kepada semua kaum waris Lebai Kemala agar kita bergandingan tangan, BOIKOT BARANGAN ISRAEL!! Antara produk yang perlu diboikot boleh dilihat di http://www.inminds.co.uk/boycott-brands.html.

Antara barangan/syarikat yang perlu diboikot ialah Johson&Johnson,Coke,Nestle,McDonald,Carrefour,KitKat,Calvin Klein,Giorgo Armani,Banana Republic,Aramis,Maggi,JCPenney, L'oreal,Marks&Spencers, Origin,Maybelline,Kleenex,Ambi-Pur,SaraLee, Kotex,Revlon,Kiwi,Huggies,Fanta, Schweepes,Sunkist,IBM,Nokia, The Sun, Timberland,CNN dan pelbagai lagi.

Kita perlu fahami bahawa barang-barang yang disebutkan tadi memberi sumber kewangan kepada Zionis yang terus akan menggunakan keuntungan itu untuk menindas Palestine dan Islam secara amnya. Mahukah kita bersubahat dengan Zionis untuk membunuh saudara-saudara kita di Palestine?Tidak!!!

Bermula dari sekarang MARI BOIKOT BARANGAN ISRAEL...Sampaikan pesanan ini kepada semua saudara mara dan kenalan kita.
Posted by Picasa

TOK WAK MAJID DALAM KENANGAN

Malam tadi, 9/1/2009, sedang aku mengelamun bersendirian sebelum tidur, aku melemparkan ingatan ku kepada arwah Tok Wak iaitu anak sulung Lebai Kemala. Entah kenapa aku tiba-tiba terkenang kepada arwah yang mana walaupun hanya sekejap aku kenali dan ingati, tetapi aku dapat rasakan memberi impak yang besar terhadap diri aku ini.

Aku masih dapat mengingati rupa Tok Wak dan isterinya yang hanya di kenali sebagai Pek Wak@Pah Wak. Perkara yang paling aku ingati tentang Tok Wak ialah penampilan beliau yang tegas dan berani. Aku katakan dia seorang yang berani kerana di Kg Bukit Nangka itu, rumah beliaulah yang paling seram untuk dilalui kerana kedudukannya yang berhampiran dengan hutan rimba. Tidak jauh dibelakang rumahnya ialah kawasan kompleks gua terdiri daripada Gua Kajang, Gua Puteri dan sebagainya.
Aku dan arwah ayahku pernah beberapa kali terjumpa dengan tapak kaki harimau semasa mandi di sungai yang hanya dikenali oleh penduduk setempat dengan nama Air Sejok. Memang air dari sungai ini luar biasa sejuknya. Apabila pagi hari sekitaran jam 7.00 atau 8.00 pagi, aku dan arwah ayah gemar mandi di Air Sejok dan untuk ke sana, terpaksa menempuh kawasan rumah Tok Wak.
Biasanya kalau melalui rumah Tok Wak, kami akan disambut dengan salakan anjing yang dipelihara oleh Tok Wak. Namun itu tidak menakutkan ayahku dan anjing itu juga faham bahawa kami ini bukan ancaman. Sesekali apabila terdengar salakan anjing, Tok Wak akan menjenguk dari jendela dan menegur ayahku.

Selalunya apabila pulang dari mandi di Air Sejok, aku dan ayah akan singgah di rumah Tok Wak dan sepertimana biasa adat orang kampung, kami akan dihidangkan dengan kopi O dan kalau ada biskut, tentunya biskut lemak atau ayakku menyebutnya roti empat segi dan kadangkala ada juga sesekali dijamu dengan biskut keras yang dikenali oleh penduduk Lenggong dengan nama roti kapal.

Apabila singgah di rumah Tok Wak, ayah aku pasti akan menghulurkan rokok 555 yang diminatinya kepada Tok Wak. Kadang-kadang mereka menghisap rokok daun sahaja, dan kerja aku pada waktu itu tak lain tak bukan ialah membakar sisa-sisa daun nipah yang tidak digunakan oleh mereka.

Pada tahun 60an hingga 70an, harimau masih boleh ditemui di sekitar rumah Tok Wak. Pasti!!!Kalau setakat hendak melihat tapak kaki haiwan itu, bila-bila masa pun boleh ditemui berhampiran dengan Air Sejok. Namun aku sendiri ada mempunyai 2 kali pengalaman bertemu dengan harimau.

Pertamanya ialah semasa aku dan sepupuku Din dan seorang lagi kalau tak salah aku ialah rakan yang hanya dikenali sebagai Ja'a. Kami pada pagi itu meronda sekitar kawasan Air Sejok dengan membawa lastik. Tujuan kami adalah untuk melastik burung di kawasan sekitar terutamanya di sebatang pokok kandis di pertemuan antara Air Sejok dan Sungai Lenggong. Aku masih ingat lagi di mana semasa kami asyik leka, tiba-tiba Ja'a menjerit sambil menunding jari ke arah seekor harimau kumbang. Apa lagi, bertempiaranlah kami membuka langkah seribu!

Pengalaman kedua ialah ketika kami bertiga masuk ke dalam Gua Kajang melalui jalan di belakang rumah Tok Wak. Semasa kami berlindung dalam hujan lebat waktu petang., tiba-tiba terdengar ngauman harimau yang amat kuat dan memecahkan kesunyian gua tempat kami berlindung. Kami terus melarikan diri lebih dalam ke arah gua itu dan tiba di kawasan tanaman tembakau.

Satu perkaara lagi yang aku ingat tentang Tok Wak ialah di bawah rumah beliau terdapat tempayan air di mana aku dan abanku pernah memasukkan ikan yang kami pancing ke dalam tempayan itu. Ayah leka bersembang dengan Tok Wak di atas rumah manakala aku dan abang pula bermain dengan ikan dalam tempayan itu.

Sebenarnya banyak lagi kenangan aku bersama Tok Wak tetapi apa yang aku sedih ialah aku tidak ada menyimpan gambar arwah Tok Wak dan keluarganya. Harap kalau ada mana-mana ahli waris yang membaca tulisan ini, dapatlah kirimkan gambar Tok Wak atau cerita Tok Wak melalui e-mail theriderinblack@yahoo.com.my.

Thursday, January 8, 2009

TASIK RABAN DAYA PENARIK KE LENGGONG

Sempena dengan sambutan hari keluarga waris Lebai Kemala pada 28/12/2008 yang lalu, aku telah mengambil kesempatan pada 29/12/2008 untuk berjalan di sekitar Lenggong termasuklah ke Tasik Raban. Kebetulan petang hari itu hujan mencurah-curah turun dengan amat lebat sekali. Namun dengan kenderaan Hilux ku, aku tetap meneruskan perjalanan ke pinggir Tasik Raban untuk minum petang.

Sebai sahaja aku memberhentikan keretaku, aku terus mengambil tempat di sebuah meja yang terletak di gerai makan pinggir tasik itu dan mencari kameraku. Aduh!!! Panik aku kerana rupa-rupanya kamera aku tertinggal dalam beg di Taiping. Mujurlah aku masih mempunyai 2 buah handphone iaitu Nokia 6500 dan Sony P1i. Dengan menggunakan kedua-dua kamera itulah aku mengambil gambar beberapa sudut pandangan yang boleh aku rakamkan.
Sebagai seorang yang amat meminati hujan, aku leka mengambil gambar dan menikmati keindahan Tasik Raban yang aku rasa keindahannya sukar ditandingi oleh mana-mana tasik lain di Malaysia. Memang aku terasa amat berbangga kerana daerah Lenggong telah dianugarahkan dengan keistimewaan ini. Sesekali mata aku bertumpu ke arah beberapa pusat ternakan ikan air tawar yang terletak di pinggir dan di tengah-tengah tasik itu. Sungguh indah.
Dalam kelekaan itu, aku menerangkan kepada abangku bahawa ini adalah satu nikmat pemberian yang tidak ternilai oleh tuhan kepada penduduk setempat. Aku turut menambah bahawa terdapat sedikit kekecewaan kerana aku menjangkakan kawasan ini akan dibangunkan dengan pesat sebagai pusat rekriasi yang unggul di Hulu Perak namun sehingga kini impian aku itu masih tidak tercapai.

Terkadang aku memikirkan memang eramai daripada anak-anak Lenggong yang berjaya dalam karier politik tetapi kenapa tiada pembangunan yang pesat ,maksud aku pembangunan eco-tourism di kawasan ini.

Lenggang tidak kurang menarik jika dibangunkan dengan produk eco-tourism. Dengan kawasan arkeologi, gua-gua, Sungai Perak yang cantik, kemungkinan ini semua adalah modal yang boleh menukarkan wajah Lenggong kepada sebuah pusat eco-tuorism yang berjaya suatu hari nanti. Mudah-mudahan ada anak-anak Lenggong lain yang akan berfikiran seperti aku. Jangan abaikan Lenggong seperti mana dekad-dekad yang lalu. Berilah nafas baru kepada Lenggong.
Posted by Picasa

BUNGA KANTAN, JAMBATAN DAN SUNGAI

Bunga kantan. Nama bunga yang tidak asing lagi di kawasan Lenggong , Perak. Tidak asing maksud aku ialah inilah bunga yang menjadi bahan wajib untuk membuat laksa, makaan tradisi orang Melayu yang amat terkenal di utara tanah air. pokok kantan, sejenis pokok yang sama lebih kurang dengan pokok lengkuas, tumbuh meliar dengan banyaknya di kawasan lembab di Lenggong Perak.

Pokok ini seingat aku amat banyak hidup di tebing Sungai Lenggong terutamanya berhampiran dengan Kg Bukit Nangka suatu ketika dahulu. Aku masih ingat lagi bahawa Pah Bunde (Suyah bt Lebai Kemala) sering memetik bunga kantan untuk dijadikan sebagai ramuan dalam masakan laksa atau masak lemak ikan sungai terutamanya ikan luma atau lampam. Aduh.....memang sedap.Malahan jika tiada bunga kantan, tidak lengkaplah ramuan laksa atau masak lemak ikan sungai.
Gambar di atas ialah jambatan merentangi Sg Perak di Kg Chepor. Inilah dia nadi perhubungan penduduk di seberang Sg Perak berhampiran Kg Chepor sekarang ini. Cuba imbas kembali di tahun sebelum tahun 90an ketika jambatan ini masih tiada. Memang agak sukar untuk penduduk kampung keluar ke Pekan Lenggong kecualilah dengan menaiki rakit, perahu atau bot.

Dua gambar di bawah pula ialah gambar Sg Perak diambil dari jambatan Kg Bukit Sapi, satu lagi kampung pedalaman yang mana sukar dihubungi suatu ketika dahulu. Aku masih ingat di tahun 60an dan 70an ketika negara masih di ambang konflik dengan kegiatan pengganas komunis, Kg Bukit Sapi amat sukar untuk dikunjungi melainkan jika ada sesuatu sebab yang munasabah.

Kalau tak salah aku, arwah Cikgu Shaari, anak lelaki kedua Pah Bunde pernah mengajar di sekolah Kg Bukit Sapi ini, maaf jika fakta ini tersilap. Namun apa yang menariknya ialah ketika Empangan Temenggor dan Empangan Banding belum dibina, kawasan persekitaran ini sering menjadi kawasan banjir besar di Lenggong. Aku masih ingat lagi pernah menjumpai kura-kura yang amat besar di tebing sungai ini semasa banjir surut di tahun 70an.
Bunga kantan, jambatan dan sungai telah banyak merubah hidup penduduk di pinggir sungai. Nostalgia ini tidak akan dapat dikikis di minda generasi seangkatan seperti aku. Dari dahulu sehingga sekarang, keadaan sungai masih sama, mengalir ke hilir tanpa noktah yang pasti. Hanya kehidupan manusia sahaja yang berubah, lebih cepat perubahan itu berbanding aliran sungai di Kg Chepor dan Bukit Sapi. Lenggong, tanpa sungai dan bunga kantan, namamu pasti dilupakan...
Posted by Picasa

KENANGAN SEPANJANG PERHIMPUNAN WARISAN KELUARGA LEBAI KEMALA

Gambar di atas ialah gambar kenangan dari kiri Mohd Nor, Abang Fadil, aku, Abang Johari dan yang hujung ini telah aku lupa namanya...siapa ye?
Begitu ramai yang hadir sehingga tempat untuk bergambar pun tak cukup! Mujur ada Abang Zul (berkopiah) yang membantu mengawal keadaan.

Kanak-kanak adalah antara golongan yang paling ramai sekali hadir dalam perhimpunan kali ini. Insyaallah, semoga mereka semua akan diberkati dan menjadi pewaris yang akan meneruskan tradisi warisan Lebai Kemala ini.
Posted by Picasa

Friday, January 2, 2009

KEMERIAHAN PERHIMPUNAN WARIS MENJADI SEJARAH

Perhimpunan waris keturunan Lebai Kemala yang diadakan baru - baru ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya dengan penyertaan ramai kanak-kanak dan golongan muda. Walau pun ada antara mereka hadir untuk kali yang pertama tetapi ini memberikan impak yang positif terhadap masa depan kaum keluarga waris.
Bukan mudah untuk mengumpul jumlah peserta yang ratusan orang ini. Bukannya satu kerja yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata. Oleh itu penghargaan yang sewajarnya perlu diberikan kepada penganjur atas inisiatif mereka melaksanakan tanggungjawab sosial tanpa sebarang ganjaran wang ringgit yang diterima.
Aku angkat topi kepada mereka semua, anda kebanggaan kami!
Walau pun penyertaan pada kali ini mungkin agak sedikit kurang dari pertemuan pertama yang diadakan pada tahun 2006, namun ia langsung tidak mencacatkan sambutan malahan dengan kehadiran waris dari Singapura dan Thailand telah berjaya membuatkan perhimpunan kali ini amat unik sekali. Syabas untuk semua.
Posted by Picasa