Malam tadi, 9/1/2009, sedang aku mengelamun bersendirian sebelum tidur, aku melemparkan ingatan ku kepada arwah Tok Wak iaitu anak sulung Lebai Kemala. Entah kenapa aku tiba-tiba terkenang kepada arwah yang mana walaupun hanya sekejap aku kenali dan ingati, tetapi aku dapat rasakan memberi impak yang besar terhadap diri aku ini.
Aku masih dapat mengingati rupa Tok Wak dan isterinya yang hanya di kenali sebagai Pek Wak@Pah Wak. Perkara yang paling aku ingati tentang Tok Wak ialah penampilan beliau yang tegas dan berani. Aku katakan dia seorang yang berani kerana di Kg Bukit Nangka itu, rumah beliaulah yang paling seram untuk dilalui kerana kedudukannya yang berhampiran dengan hutan rimba. Tidak jauh dibelakang rumahnya ialah kawasan kompleks gua terdiri daripada Gua Kajang, Gua Puteri dan sebagainya.
Aku dan arwah ayahku pernah beberapa kali terjumpa dengan tapak kaki harimau semasa mandi di sungai yang hanya dikenali oleh penduduk setempat dengan nama Air Sejok. Memang air dari sungai ini luar biasa sejuknya. Apabila pagi hari sekitaran jam 7.00 atau 8.00 pagi, aku dan arwah ayah gemar mandi di Air Sejok dan untuk ke sana, terpaksa menempuh kawasan rumah Tok Wak.
Biasanya kalau melalui rumah Tok Wak, kami akan disambut dengan salakan anjing yang dipelihara oleh Tok Wak. Namun itu tidak menakutkan ayahku dan anjing itu juga faham bahawa kami ini bukan ancaman. Sesekali apabila terdengar salakan anjing, Tok Wak akan menjenguk dari jendela dan menegur ayahku.
Selalunya apabila pulang dari mandi di Air Sejok, aku dan ayah akan singgah di rumah Tok Wak dan sepertimana biasa adat orang kampung, kami akan dihidangkan dengan kopi O dan kalau ada biskut, tentunya biskut lemak atau ayakku menyebutnya roti empat segi dan kadangkala ada juga sesekali dijamu dengan biskut keras yang dikenali oleh penduduk Lenggong dengan nama roti kapal.
Apabila singgah di rumah Tok Wak, ayah aku pasti akan menghulurkan rokok 555 yang diminatinya kepada Tok Wak. Kadang-kadang mereka menghisap rokok daun sahaja, dan kerja aku pada waktu itu tak lain tak bukan ialah membakar sisa-sisa daun nipah yang tidak digunakan oleh mereka.
Pada tahun 60an hingga 70an, harimau masih boleh ditemui di sekitar rumah Tok Wak. Pasti!!!Kalau setakat hendak melihat tapak kaki haiwan itu, bila-bila masa pun boleh ditemui berhampiran dengan Air Sejok. Namun aku sendiri ada mempunyai 2 kali pengalaman bertemu dengan harimau.
Pertamanya ialah semasa aku dan sepupuku Din dan seorang lagi kalau tak salah aku ialah rakan yang hanya dikenali sebagai Ja'a. Kami pada pagi itu meronda sekitar kawasan Air Sejok dengan membawa lastik. Tujuan kami adalah untuk melastik burung di kawasan sekitar terutamanya di sebatang pokok kandis di pertemuan antara Air Sejok dan Sungai Lenggong. Aku masih ingat lagi di mana semasa kami asyik leka, tiba-tiba Ja'a menjerit sambil menunding jari ke arah seekor harimau kumbang. Apa lagi, bertempiaranlah kami membuka langkah seribu!
Pengalaman kedua ialah ketika kami bertiga masuk ke dalam Gua Kajang melalui jalan di belakang rumah Tok Wak. Semasa kami berlindung dalam hujan lebat waktu petang., tiba-tiba terdengar ngauman harimau yang amat kuat dan memecahkan kesunyian gua tempat kami berlindung. Kami terus melarikan diri lebih dalam ke arah gua itu dan tiba di kawasan tanaman tembakau.
Satu perkaara lagi yang aku ingat tentang Tok Wak ialah di bawah rumah beliau terdapat tempayan air di mana aku dan abanku pernah memasukkan ikan yang kami pancing ke dalam tempayan itu. Ayah leka bersembang dengan Tok Wak di atas rumah manakala aku dan abang pula bermain dengan ikan dalam tempayan itu.
Sebenarnya banyak lagi kenangan aku bersama Tok Wak tetapi apa yang aku sedih ialah aku tidak ada menyimpan gambar arwah Tok Wak dan keluarganya. Harap kalau ada mana-mana ahli waris yang membaca tulisan ini, dapatlah kirimkan gambar Tok Wak atau cerita Tok Wak melalui e-mail theriderinblack@yahoo.com.my.
Saturday, January 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment