Bunga kantan. Nama bunga yang tidak asing lagi di kawasan Lenggong , Perak. Tidak asing maksud aku ialah inilah bunga yang menjadi bahan wajib untuk membuat laksa, makaan tradisi orang Melayu yang amat terkenal di utara tanah air. pokok kantan, sejenis pokok yang sama lebih kurang dengan pokok lengkuas, tumbuh meliar dengan banyaknya di kawasan lembab di Lenggong Perak.
Pokok ini seingat aku amat banyak hidup di tebing Sungai Lenggong terutamanya berhampiran dengan Kg Bukit Nangka suatu ketika dahulu. Aku masih ingat lagi bahawa Pah Bunde (Suyah bt Lebai Kemala) sering memetik bunga kantan untuk dijadikan sebagai ramuan dalam masakan laksa atau masak lemak ikan sungai terutamanya ikan luma atau lampam. Aduh.....memang sedap.Malahan jika tiada bunga kantan, tidak lengkaplah ramuan laksa atau masak lemak ikan sungai.
Gambar di atas ialah jambatan merentangi Sg Perak di Kg Chepor. Inilah dia nadi perhubungan penduduk di seberang Sg Perak berhampiran Kg Chepor sekarang ini. Cuba imbas kembali di tahun sebelum tahun 90an ketika jambatan ini masih tiada. Memang agak sukar untuk penduduk kampung keluar ke Pekan Lenggong kecualilah dengan menaiki rakit, perahu atau bot.
Dua gambar di bawah pula ialah gambar Sg Perak diambil dari jambatan Kg Bukit Sapi, satu lagi kampung pedalaman yang mana sukar dihubungi suatu ketika dahulu. Aku masih ingat di tahun 60an dan 70an ketika negara masih di ambang konflik dengan kegiatan pengganas komunis, Kg Bukit Sapi amat sukar untuk dikunjungi melainkan jika ada sesuatu sebab yang munasabah.
Kalau tak salah aku, arwah Cikgu Shaari, anak lelaki kedua Pah Bunde pernah mengajar di sekolah Kg Bukit Sapi ini, maaf jika fakta ini tersilap. Namun apa yang menariknya ialah ketika Empangan Temenggor dan Empangan Banding belum dibina, kawasan persekitaran ini sering menjadi kawasan banjir besar di Lenggong. Aku masih ingat lagi pernah menjumpai kura-kura yang amat besar di tebing sungai ini semasa banjir surut di tahun 70an.
Bunga kantan, jambatan dan sungai telah banyak merubah hidup penduduk di pinggir sungai. Nostalgia ini tidak akan dapat dikikis di minda generasi seangkatan seperti aku. Dari dahulu sehingga sekarang, keadaan sungai masih sama, mengalir ke hilir tanpa noktah yang pasti. Hanya kehidupan manusia sahaja yang berubah, lebih cepat perubahan itu berbanding aliran sungai di Kg Chepor dan Bukit Sapi. Lenggong, tanpa sungai dan bunga kantan, namamu pasti dilupakan...
Thursday, January 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment