Anak bongsu dalam keluarga Abdul Wahid ini lahir pada 28 Oktober 1979 di Hospital Taiping. Semasa kelahiran itu, kami telahpun berpindah ke Tapak Expo, Kemunting, Taiping. Aku masih ingat lagi semasa ia dibawa balik ke rumah dari hospital, sekeliling rumah kami digenangi air kerana hujan lebat. Semasa mencari-cari nama yang sesuai untuk adikku inilah aku telah mencadangkan agar namanya diberi FAIRUZ ASWAN, sempena dengan permata dari lembah Aswan, Lembah yang menjadi nadi penduduk Mesir sejak turun temurun hinggalah ke hari ini.
Ketiga-tiga gambar di atas ialah gambar sewaktu adikku ini memasuki hari pertama persekolahannya di Sekolah Rendah Kemunting, yang terletak tidak jauh di belakang rumahku. Gambar ini dirakamkan sendiri oleh aku pada tahun 1986. Memandangkan bahawa dia adalah anak bongsu dalam keluarga, maka manjanya agak lebih sedikit berbanding dengan adik beradik yang lain. Bayangkan, dia baru hendak memasuki alam persekolahan sedangkan abang-abangnya yang lain telah pun memasuki alam pekerjaan. Aku sendiri semasa itu telah menjadi seorang guru.
Dia amat dimanjai oleh kedua orang tuaku umpama menatang minyak yang penuh. Apa yang aku nampak perubahan daripada Fairuz hanyalah apabila ayahku meninggal dunia pada tahun 1991, dimana dia telah kehilangan kasih sayang seorang ayah sewaktu masih memerlukan belaiannya. Oleh kerana itu jugalah maka ibu telah memberi kasih sayang yang sepenuhnya terhadap adikku itu, kasih sayang yang amat luar biasa sehinggalah ibu meninggal pada tahun 2006.
Friday, April 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment