Wednesday, April 9, 2008

KAMPUNG BUKIT NANGKA DALAM NOSTALGIAKU ( 1 )

Tahun 1960an. Zaman waktu itu aku mula mengenali dunia kecil bernama Kampung Bukit Nangka. Sebuah perkampungan yang tidak dikenali. Tiada sesuatu yang menarik tentang kampung ini dalam persada sejarah dunia. Maklumlah perkampungan ini bukanlah berdiri atas faktor ekonomi. Tiada sebarang kemudahan asa pada waktu itu. Jangankan air paip, telaga pun masih dikongsi bersama.

Masih dapat aku ingati, rumah Pah Bunde hanya bergantung kepada cahaya pelita untuk menerangi di waktu malam. Aku pula amat menggemari mengoyak tikam mengkuang opah dan membakar juraian daun mengkuang yang terlerai dari anyamannya. Kerana perangai aku itulah aku kerap menjadi bebelan Pah Bunde.

Hanyalah pada hujung tahun 60an barulah ada elektrik dibekalkan kepada penduduk kampung. Namun bekalan itu bukanlah daripada elektrik yang dibekalkan oleh LLN tetapi oleh sebuah syarikat kerjasama penduduk kampung di Gelok, Lenggong. Bekalan elektrik pada waktu itu hanya bermula dari jam 7.00 petang hinggalah 11.00 malam.



Bekalan air pula pada waktu itu hanyalah dari sumber telaga yang terletak tidak jauh dari rumah Pah Bunde. Hanyalah telaga itu sahaja di sekitar kawasan tersebut yang boleh dijadikan bekalan air minuman. Untuk mandi manda pula, kadang-kadang ada yang menggunakan telaga itu tetapi sebahagian besar penduduk setempat akan menggunakan air sungai yang terletak di seberang jalan raya. Untuk ke subgai itu pula, terpaksalah melalui bendang (kepunyaan siapa aku tidak ingat) yang menghijau.

Buang air besar? Bukan masalah utama ketika waktu itu. Sama ada pergi ke sungai atau ambil sahaja cangkul dan koreklah lubang di mana yang difikirkan sesuai! Free Of Charge!!!
Suasana di perkampungan Bukit Nangka amat syahdu sekali. Apabila subuh menjelma, maka berduyun-duyunlah penduduk kampung keluar mencari rezeki, ke bendang atau ke kebun getah dengan berjalan kaki atau menaiki basikal. Amat jarang sekali penduduk yang mempunyai motosikal. Bagi anak-anak kecil seperti aku ini, waktu pagi adalah waktu yang amat seronok untuk tidur kerana suhu di sekitar adalah sejuk malahan minyak kelapa yang diletakkan dalam botol pun boleh membeku. Cubalah bayangkan betapa sejuknya suasana pada ketika itu berbanding dengan apa yang ada sekarang.

Namun sebagai cucu Pah Bunde, kalau arwak berada di rumah, jangan haraplah untuk tidur hingga ke tengah hari. Pasti beliau akan mengejutkan anak cucu yang masih tidur kerana katanya kalau tidur hingga matahari naik, akan menjadi papa dan bertambah malas. Mahu atau tidak terpaksalah bangun. Aktiviti utama sebaik sahaja bangun tidar, tentulah mandi sungai. Maka berduyun duyunlah kami berarak ke sungai untuk mandi .

Suasana pada waktu petang juga amat mengasyikkan. Sebelum senja menjelma, aku pasti akan mendongakkan kepalanya dan memandang ke langit. Tumpuan aku adalah untuk melihat ribuan keluang yang terbang mencari makanan di serata ceruk kampung. Saiz setiap keluang pula bukanlah kecil, lebih besar dari burung gagak. Sesekali aku dapat melihat kubung terbang dari pohon kelapa ke pohon kelapa yang lain. Amat teruja aku melihat sandiwara alam ini.
Cuba bayangkan di zaman yang tiada tv dan komputer itu. Hiburan aku semata mata pada radio buruk yang dibeli oleh ayahku. Sudah tentulah rancangan kegemaran ialah 'BANGSAWAN DI UDARA.' Berkumpullah anak cucu di sekeliling radio untuk mendengar cerita-cerita dari hikayat-hikayat lama. Itu pun sudah kira cukup baik. Bagi yang tidak mempunyai radio pula, cerita-cerita rakyat yang diceritakan oleh orang-orang tua menjadi sumber hiburan untuk anak cucu.

Bila mengingati itu semua, terasa syahdu benar dan ingin aku kembali semula ke zaman tersebut untuk menikmati semula kehidupan masyarakat yang amat sederhana, penuh nostalgia. Bayangkanlah kalau anak-anak kita sekarang ini merasai semula kehidupan kita pada zaman tersebut, pasti akan tergamamlah mereka sehinga tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dalam kehidupan kekampungan yang penuh serba kekurangan.
Posted by Picasa

No comments: